Sunday, December 27, 2009 | By: G-Balleza

Bila pena tulip menari....~2006~

DILEMA

 

Alia melontar pandangannya ke dada langit, merenungi alam ciptaan Allah  dengan seribu satu persoalan. Masih lagi terngiang-ngiang bicara Amir di cuping telinganya lewat malam lepas. “Sayang, abang dapat tawaran KPLI tu,” sayup-sayup suara Amir kedengaran di corong telefon membuat Alia tersentak. Panggilan telefon jam 12.45 malam tanggal 5 Januari itu benar-benar menyegarkan kelopak mata Alia dari lena yang panjang sebentar tadi. “Betul ke abang, Alia pulak macammana?”. Bebola mata Alia yang layu dan kuyu tadinya semakin membulat. “Emmmm…sayang tak dapat, tapi……alangkah bagusnya jika sayang yang dapat tawaran tu, bukannya abang…,” ada nada gundah pada bicara Amir. Alia kelu.

 

Kata-kata Amir sebentar tadi menyentap tangkai jantung Alia. Kenapa Amir berfikiran cetek sebgitu. Tidakkah dia terfikir ini adalah rezeki kurniaan Ilahi setelah sebulan hadirnya Ain Nadira ke dunia ini? Tidakkah dia terfikir akan kesenangan yang bakal dikecapi di hari muka kelak apabila begelar seorang kakitangan kerajaan? Fikiran Alia berkecamuk. Longlai langkahnya menghitung waktu bilakah suaminya akan berubah fikiran. Ketika orang lain merebut peluang untuk memohon KPLI, suaminya pula menerima tawaran dengan rasa hambar. Tiada nada ceria, tiada gelak ketawa.

 

Arghhh!!!!!!Alia benar-benar buntu dengan pengakuan Amir sebentar tadi. Dalam hatinya meronta-ronta menjerit sekuat hati agar suaminya mengubah keputusannya itu. Jika orang lain melompat-lompat kegirangan di saat menerima khabar gembira, tetapi tidak bagi Amir. Tawaran itu bagaikan batu yang menghempap dirinya. Sungguh pelik. Namun sebagai isteri, Alia cuba sedaya upaya memujuk Amir. Tetapi nyata menemui jalan buntu. Alia dapat merasakan lain benar layanan Amir padanya tatkala berbicara tentang perkara itu. Walaupun Amir dan Alia jauh terpisah atas urusan kerja, namun perubahan itu tetap dirasai Alia.

 

“Umi, abang Amir tu, entahlah..Lia pun tak faham, kenapa sayang sangat kat sekolah kampung tu. Entah apa yang ada kat sana pun Lia tak tahu,”, suatu petang Alia mengadu pada Uminya. “Nantilah, Umi nasihatkan si Amir tu, janganlah risau sangat,”. Wajah Alia kembali berbunga. Moga ada sinar harapan di sebalik nasihat dan doa seorang ibu!!!

 

Angin sepoi-sepoi bahasa menampar-nampar pipi gebu Alia, di petang yang nyaman itu. Alia mencapai telefon bimbitnya ketika sedang beristirehat di halaman rumah, lalu didailnya nombor Amir. “Assalamualaikum, abang. Lia tak nak cakap banyak. Cukuplah abang mengerti yang Lia harap sangat abang terima tawaran tu. Abang tak usah risaukan Alia. Abang tak usah risaukan Nadira……Inilah pengorbanan Alia untuk abang. Alia sanggup berjauhan dengan abang..Walau apa pun, abang fikirlah yang terbaik untuk keluarga kita bang,” esak tangis Alia mula kedengaran

 

***************************************************

 

SMS yang diterima Alia sebentar tadi benar-benar menyentuh jiwa Alia. Matanya yang dulu redup bersinar indah, bibir mulusnya tak lekang dek senyuman. “Sayang…sebagaimana berat langkah abang untuk pergi, lagi berat  hati abang untuk tinggalkan Alia dan Nadira berdua bila sayang dah bekerja semula nanti…Namun, demi penuhi hasrat hati sayang, abang akan gagahkan jua melangkah ke alam pelajar semula…I love you much!” Begitu mendalam mesej Amir menusuk kalbu Alia.

 

Biarlah dada dan minda Amir sarat dengan ilmu. Bisik hati Alia. Surat dari Amir yang diterimanya tengahari itu dilipat rapi. Perkhabaran dari Amir mengatakan dia semakin sibuk dengan kelas dan tugasan di maktab. Rupa-rupanya sudah dua bulan Amir pergi menadah ilmu demi masa depan mereka. Segalanya berlalu begitu pantas. Alia tidak lupa mendoakan Amir setiap kali selesai solat. Malah Alia tidak lupa mengerjakan tahajjud setiap malam, mendamba harapan kepadaNya Yang Maha Kuasa.

 

Sesungguhnya Alia benar-benar bahagia kini. Walaupun sering berjauhan, Alia yakin cinta di antara mereka semakin utuh, berpaksikan pada prinsip kesetiaan, kejujuran dan keikhlasan yang telah dipateri bersama seawal menjalin cinta lima musim yang lalu. Sewaktu malam mendakap sepi, ketika Nadira sedang lena di alam mimpi, Alia mencapai sebatang pena lantas menarikan kata-kata di atas sekeping warkah putih untuk tatapan suaminya tersayang.

 

Keresahanmu keresahanku jua

Kesusahanmu kesusahanku jua

Kebahagianmu kebahagiaanku jua

Segalanya kita kongsi bersama

 

Teruskan langkahmu

Mara ke hadapan

Tempuhi perjuangan ini dengan kesabaran

Harungi perjalanan ini dengan ketabahan

 

Sayap kirimu ini

Akan terbang bersamamu

Melewati bilah-bilah hari yang getir

Mengharungi detik waktu yang sukar

Mengatur langkah seiring dan sekata

Walau jauh di mata

Moga kasih, sayang dan cinta kita

Mekar selamanya…

 

 Warkah putih itu dilipat rapi  dan dikepilkan ke

dalam sampul surat wangi berwarna ungu. Alia terlena

di sisi warkah berlagu rindu pada malam yang sepi itu.



Tulip Ungu ~Ogos 2006~


0 comments:

Post a Comment

kau bertakhta di hati....

Related Posts with Thumbnails